Impak Warna Logo Terhadap Perniagaan AndaPara pembaca pasti biasa dengan nama restoran makanan segera francais, McDonald. Begitu juga dengan logo perniagaan mereka yang popular, seakan-akan huruf ‘w’ yang diterbalikkan dan berwarna kuning.
Bayangkan sekiranya warna logo tersebut di tukar kepada warna kelabu. Apakah restoran francais ini akan menjadi popular dan berjaya di peringkat dalam dan luar negara serta menjadi kegemaran ramai sebagaimana ia pada hari ini? Beberapa logo syarikat gergasi memiliki kombinasi warna dan bentuk rekaan logo yang berkuasa dan berpengaruh melebihi pemilik syarikat itu sendiri. Sebagai contoh logo Nike yang berwarna hitam. Tanpa penerangan lanjut, hanya melihat kepada logo tersebut saja pengguna tahu ia milik syarikat pengeluar kelengkapan sukan. Begitu juga dengan logo Google yang berwarna-warni serta logo produk teknologi seperti Apple yang berwarna kelabu metalik dan logo enjin carian laman sesawang Firefox yang menggabungkan warna jingga dan biru. Warna-warna ini kelihatan biasa tetapi apabila diterjemahkan dengan gabungan rekaan logo yang kreatif, ia berjaya mempengaruhi pergerakan graf bisnes dan meluaskan pengaruh dikalangan pengguna sehingga berjaya memiliki pengguna setia/pengikut tersendiri. Warna merupakan salah satu elemen penting dalam mana-mana penciptaan logo jenama. Sama ada logo anda berwarna merah dan garang, jingga dan riang atau hitam dan misteri, warna-warna yang anda pilih sebenarnya menyampaikan satu mesej kepada pelanggan dan bakal pelanggan anda. Ambil contoh pemilihan warna kelabu dengan produk mainan kanak-kanak. Kemungkinan besar (sudah pasti) pelanggan akan berfikir banyak kali sebelum membeli produk anda serta mempertikai relevan pemilihan warna tersebut ke atas logo anda dengan produk utama yang anda jual. Sebagaimana anda memberikan sepenuh tumpuan dan ketelitian terhadap penciptaan logo syarikat anda, pastikan anda turut memberi perhatian kepada mesej yang tersirat di sebalik pemilihan warna tersebut. |